"

Manusia secara semula jadi cenderung untuk meramalkan sesuatu. Daripada cuba meneka bila jalan raya akan kembali lancar semasa perjalanan balik kampung hingga memutuskan sama ada perlu membawa payung pada hari yang cerah, kita secara naluri ingin mengetahui masa depan agar dapat merasa lebih terkawal.

Naluri ini turut terbawa-bawa ke dalam dunia pelaburan. Masih ramai antara kita yang percaya bahawa kita boleh menyusun strategi dan meramalkan pasaran (juga dikenali sebagai “timing the market”), dengan berdagang secara aktif — beli pada harga rendah, jual pada harga tinggi — untuk memaksimumkan pulangan. Tetapi, jujurlah, berapa kerap ramalan kita tentang cuaca, trafik, atau pasaran saham benar-benar menjadi kenyataan?

Kenapa kita suka sangat untuk meramal?

Kita secara semula jadi diprogram untuk mengelak ketidaktentuan dan kekaburan; otak kita memang direka begitu. Sebagai contoh, semasa perjalanan balik kampung, ramai keluarga memilih untuk bertolak pada waktu janggal bagi mengelak kesesakan, tetapi akhirnya tetap terperangkap dalam trafik kerana hakikatnya ramai orang lain berfikiran sama.

Sejak kecil, kita secara naluri cuba memahami ketidaktentuan dengan mencipta penjelasan yang munasabah. Apabila kita membentuk penjelasan ini, kita cenderung untuk berpegang padanya kerana ia memberikan rasa kawalan yang menenangkan, walaupun sebenarnya tidak tepat.

Perkara ini juga lazim dalam pelaburan — ramai yang didorong oleh ketakutan dan keinginan untuk mengelakkan kerugian sering mengambil langkah untuk meramalkan dan mengatasi pasaran. Dengan kata lain, mereka berusaha untuk sentiasa mendahului pasaran.

Pakar Pun Bergelut — Perlukah Kita Bersusah Payah?

Malah pengurus dana berpengalaman dan pedagang harian, dengan  alat yang pelbagai dan kepakaran mereka, sering gagal untuk  mengatasi prestasi pasaran secara konsisten. Menurut laporan SPIVA, majoriti dana yang diurus secara aktif mencatatkan prestasi yang lebih rendah berbanding indeks penanda aras (sekumpulan saham) dalam jangka masa panjang.

Berikut adalah risiko utama dalam percubaan anda untuk aktif berdagang dan 'meramalkan masa pasaran':

  • Keputusan berdasarkan emosi
    Kebanyakan pelabur mungkin tidak mahu mengakuinya, tetapi realitinya, menentukan masa yang tepat untuk pasaran sering membawa kepada keputusan yang didorong oleh ketakutan atau ketamakan, bukannya logik. Apabila harga jatuh, ketakutan boleh mendorong anda untuk menjual. Apabila harga meningkat, ketamakan boleh mendorong anda untuk membeli pada harga puncak. Semasa kejatuhan pasaran, anda mungkin panik dan menjual semuanya, menyebabkan kerugian terkunci. Kemudian, apabila harga pulih, anda mungkin membeli semula pada harga yang lebih tinggi, menyebabkan kerugian berganda.
  • Kesibukan hanya akan menelan kos lebih banyak
    Mantra “beli rendah, jual tinggi” sering mengabaikan satu hakikat penting — jika anda melakukannya terlalu kerap, kos transaksi (dikenakan oleh broker atau peniaga) akan mengurangkan pulangan anda. Dengan itu, anda juga perlu menghasilkan pulangan yang cukup besar untuk mengimbangi yuran dan kos ini.
  • Terlepas hari-hari terbaik
    Menentukan masa yang tepat untuk pasaran sering bermakna masuk dan keluar berdasarkan ramalan. Masalahnya? Tiada siapa tahu bila ""hari terbaik"" pasaran akan berlaku. Bayangkan anda keluar dari pasaran (membuat pengeluaran) kerana anda fikir harga akan jatuh sama ada kerana takut kerugian atau merancang untuk membeli pada harga lebih rendah. Tiba-tiba, pasaran melonjak, dan anda terlepas kenaikan 5% dalam satu hari. Terlepas hanya beberapa hari ini boleh mengurangkan pulangan keseluruhan anda dengan ketara. Kami telah ilustrasikan bagaimana ini boleh menjadi mahal dari masa ke masa di sini.

Walaupun terdapat kelemahan utama ini, kebanyakan daripada kita cenderung untuk cuba 'mengatasi' orang lain dan pasaran, yang mungkin tidak membawa manfaat dalam jangka masa panjang. Mungkin pilihan yang  lebih bijak adalah mengambil pendekatan yang lebih 'pasif' atau memerlukan kurang usaha dalam pelaburan.

Fokus Pada Hasil, Masa Adalah Kekuatan Anda

Jadi, jika anda seperti pelabur lain yang ingin mendapatkan pulangan besar daripada pelaburan anda, berikut adalah beberapa strategi yang boleh diamalkan:

  • Tetapkan matlamat anda dan berpegang padanya
    Seperti mana-mana perjalanan yang ingin anda tempuhi, anda perlu menetapkan destinasi. Begitu juga dengan pelaburan, menetapkan matlamat adalah langkah paling penting apabila anda mula melabur. Pelaburan tidak seharusnya dilakukan secara tergesa-gesa, dan tempoh untuk mencapai matlamat tersebut juga perlu munasabah. Apa yang perlu anda lakukan seterusnya adalah berpegang kepada rancangan itu. Seperti kata-kata terkenal oleh Warren Buffet, pakar pelaburan, “Jika anda tidak sanggup memiliki saham selama 10 tahun, jangan fikir untuk memilikinya walaupun selama 10 minit.”
  • Biarkan pelaburan bekerja untuk anda, jangan usik perjalanan itu
    Setelah anda menetapkan matlamat dan memperuntukkan wang untuk mencapainya, kuasa penggandaan akan mula berfungsi. Seperti seorang pekerja tekun yang telah anda tetapkan matlamatnya, biarkan ia bekerja tanpa gangguan. Ini bermakna anda perlu mempunyai wang kecemasan yang berasingan dan tidak mengeluarkan pelaburan tersebut melainkan benar-benar diperlukan — iaitu apabila anda telah mencapai matlamat yang ditetapkan.
  • Kecelaruan sementara, kejayaan besar di masa depan
    Ia adalah mudah untuk terpesong sepanjang perjalanan pelaburan anda, terutamanya dengan berita tentang pasaran yang naik (atau turun). Ini adalah gangguan yang boleh mempengaruhi emosi anda — sama ada rasa takut ketinggalan atau kerugian, terutamanya jika anda bertindak berdasarkan berita tersebut. Penting untuk diingat bahawa tempoh pelaburan biasanya diukur dalam tahun, bukan dalam hari atau bulan. Jadi, pergerakan pasaran biasanya hanyalah gangguan kecil dalam skema besar, dan secara umumnya ia cenderung bertambah baik dari masa ke masa. Cara terbaik adalah menjadikan masa, bukan emosi, sebagai sahabat anda dalam pelaburan, dan manfaatkan sepenuhnya strategi dollar-cost averaging.

Apa yang patut saya lakukan?

Kekal dalam pasaran. Walaupun anda melabur pada masa yang paling buruk, manfaat jangka panjang daripada kekal melabur jauh melebihi risiko cuba menentukan masa pasaran. Meramalkan pasaran adalah seperti meramalkan kesesakan lalu lintas — kadang-kadang anda betul, tetapi kebanyakan masa, anda tidak.

Daripada cuba menentukan masa tepat untuk pasaran, fokus pada masa di dalam pasaran. Dalam jangka masa panjang, pulangan berganda dan konsistensi akan  berkerja keras, memastikan kekayaan anda berkembang dengan stabil.

Bilakah anda boleh mencapai RM1 juta pertama anda?

Cuba kalkulator di bawah.

"